Manifesto pembangkang tidak realistik

KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak realistik, memberi harapan palsu dan meniru inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata
Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun.

Tambahnya, manifesto itu hanya membazirkan masa kerana masih tidak berubah dengan ‘menjual’ janji manis kepada rakyat.

“Terlalu banyak janji ditawarkan dalam Buku Harapan yang tidak logik. PH ingin menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), di mana ini akan mengurangkan pendapatan kerajaan di saat negara sedang mempelbagaikan sumber pendapatan,

“PH berjanji untuk membina satu juta rumah mampu milik di seluruh negara dan menyediakan kemudahan pinjaman untuk pemilik rumah pertama sedangkan ia sudah dilaksanakan kerajaan melalui skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Wilayah Persekutuan (RumahWIP) dan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, PH melancarkan manifesto PRU-14 yang dilihat dipenuhi janji populis dan mengitar semula idea lima tahun lalu walaupun banyak yang tidak ditunaikan, termasuk pentadbiran PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang.

Khairul Azwan berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan tipu helah pembangkang yang bukan mahu berkhidmat kepada rakyat, tetapi hanya untuk mendapatkan kuasa dan mencapai agenda peribadi.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata manifesto PH tidak ubah umpama ‘Janji PH untuk memperbetulkan kesilapan legasi zaman Tun Dr Mahathir Mohamad’.

Ini kerana, katanya, pembentang manifesto itu cukup ironi dan hipokrit apabila banyak perkara yang dicadangkan adalah tunjang serta paksi kepimpinan zaman Dr Mahathir seperti isu monopoli perniagaan, masalah konsesi tol, isu Sabah dan Sarawak.

“Sedangkan asal puncanya (semua isu) dari mana? Justeru, kita berasa bahawa manifesto ini adalah usaha keras yang dijalankan dengan penuh hipokrasi bagi membersihkan dosa dasar lampau kepimpinan Dr Mahathir.

“Malah, saya kira ini manifesto paling lemah dan kurang berkesan pernah dilancarkan PH kerana longgar dari segenap segi serta kurang perincian.

“Justeru, rakyat tidak akan terpesona dengan manifesto hilang arah seperti ini kerana pelaksanaannya hampir mustahil, ” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah, berkata kandungan manifesto PH membuktikan pembangkang sudah ketandusan idea untuk memerintah negara.

“Apa yang boleh digambarkan dalam pembentangan Manifesto Pakatan Harapan 2018, adalah mengabaikan generasi muda ‘ciplak’ dan menokok tambah.

“Pemimpin dan pengurus takbir yang bijak mestilah mampu berfikir jauh ke depan, bukannya ghairah memancing undi dan berfikiran singkat.” katanya.

FB Komen

comments