Manifesto PH retorik

IPOH: Presiden parti GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong membidas manifesto Pakatan Harapan yang disifatkannya hanya retorik dan cakap kosong semata-mata demi meraih undi rakyat.

Katanya gabungan itu tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang berjaya membentang ‘kad laporan’ secara terbuka, khususnya untuk rakyat menilai usaha yang sudah dilakukan, kejayaan serta perancangan masa depan untuk rakyat negara ini.

“Soalan untuk pembangkang, bila lagi nak tunjuk kad laporan kepada rakyat? Manifesto hanya sarat dengan janji populis malah banyak di antara janji mereka sehingga kini tidak ditunaikan, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang yang dipimpin PKR serta DAP sejak 10 tahun lalu.

“Saya yakin rakyat mampu menilai kerana yang dulu pun mereka tidak buat tetapi sekarang sudah berjanji yang baharu, sekali lagi menjanjikan bulan dan bintang,” katanya kepada pemberita di Majlis Makan Malam Parti GERAKAN Sempena Ulang Tahun ke-50 di Dewan Tow Boh Keong.

Siew Keong berkata, sepatutnya kepemimpinan pembangkang malu apabila membuat manifesto baharu sedangkan janji lama belum tertunai.

“Kita pun tahu pakatan pembangkang ini cakap lain, namun buat lain. Tak macam kerajaan BN kerana kita sebuah parti yang selalu mendengar denyut nadi rakyat dan menunaikan apa yang kita janjikan.

“Bukankah mereka juga yang hebat mengkritik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), sekarang jika berjaya bentuk kerajaan nak laksanakan juga, inilah sikap mereka yang suka pusing-pusing,” katanya.

FB Komen

comments