Penantian 10 tahun Adam Corie berakhir

KUALA LUMPUR: Penantian sepuluh tahun pelakon Adam Corrie Lee akhirnya tamat apabila mendedahkan baru-baru ini dia bakal bergelar seorang bapa tidak lama lagi.

Adam 50, berkata, isterinya Fazema Mohd Fuad kini hamil lima bulan dan dijangka bersalin pada Julai depan.

“Alhamdulillah.. syukur ke hadrat ilahi atas kurniaanMu.. .
Terima kasih juga kepada semua yang mendoakan kebahagian kami.  Alhamdulillah,” katanya menerusi akaun Instagram (IG) sambil berkongsi gambar imbasan tiga dimensi kandungan isterinya.

Tambahnya, sepuluh tahun diberi peluang berdua kini Allah mahu menambahkan lagi anggota keluarganya.

“Allah dah bagi kami berbulan madu 10 tahun, Insya-Allah kelak bertiga pula,” tulisnya.

Dalam pada itu, Adam berkata, dia gembira dan tidak sabar apabila mengetahui isterinya sedang hamil dan berharap semua mendoakan agar semua urusan kelahiran bayinya dipermudahkan.

Adam menerusi status di Facebooknya juga berharap anaknya itu nanti mempunyai suara yang bagus untuk membaca al-Quran dan seorang yang tinggi darjatnya dan berharap dia menjadi manusia selamat di dunia dan akhirat serta taat kepada agama dan Allah.

Sementara itu, Adam turut mendoakan agar pasangan suami-isteri yang belum dikurniakan cahaya mata agar segera diberikan kurniaan itu.

“Saya doakan juga mereka yang masih menanti rezeki zuriat semoga Allah berikan zuriat juga,” katanya.

Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 36 pada 2008.

FB Komen

comments