PH gagal nilai usaha kerajaan

SHAH ALAM: Manifesto yang diumumkan Pakatan Harapan demi mendepati Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) membuktikan gabungan itu gagal menilai sumbangan yang sudah dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata kebanyakan isi kandungan manifesto yang dibentangkan itu sudah dilaksanakan Kerajaan Persekutuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan subsidi minyak.

“Apa tujuan mereka membentangkan manifesto yang sudah dibuat Kerajaan BN jika pada masa kini kita sudah melaksanakannya demi membela nasib rakyat.

“Selama ini mereka (pembangkang) buat-buat buta dan hanya memekakkan telinga terhadap usaha yang sudah kita (Kerajaan Persekutuan) lakukan. Mereka bukan ambil tahu apa yang kita sudah buat.

“Tak cukup dengan itu, mereka memfitnah Kerajaan Persekutuan semata-mata kerana mahu meraih undi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada Khamis lalu, gabungan yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu melancarkan manifesto PRU-14 yang dilihat dipenuhi janji populis dan mengitar semula idea lima tahun lalu walaupun banyak yang tidak ditunaikan, termasuk pentadbiran PKR di Selangor dan DAP di Pulau Pinang.

Noh berkata beliau melihat manifesto itu hanya sekadar janji dan menyifatkan ia bersifat populis, selain berbentuk sementara.

“Manifesto yang dibentangkan tidak menyeluruh dan bukannya memberi pembelaan kepada rakyat. Kita harap rakyat tidak mudah tertipu dengan manifesto yang dikitar semula,” katanya.

FB Komen

comments