Selesai mesyuarat cawangan sebelum berhasrat pimpin negara

PAGOH: Pembangkang terbukti tidak boleh menguruskan negara apabila ada parti dalam gabungan itu sendiri mempunyai pelbagai masalah termasuk tidak mampu untuk menguruskan mesyuarat peringkat cawangan dan bahagian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu Perdana Menteri meminta rakyat tidak mudah menyerahkan masa depan negara di tangan parti yang tidak pasti boleh menguruskan negara.

“Jangan cakap nak tadbir negara tetapi parti sendiri pun tidak terurus, betulkan diri sendiri dulu,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional (BN) Peringkat Kebangsaan di di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pagoh.

Walaupun beliau tidak menamakan sebarang parti tetapi ia dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyerahkan minit mesyuarat cawangan, bahagian, pusat serta penyata kewangan bagi melengkapkan siasatan berikutan aduan oleh ahli sendiri.

Perdana menteri berkata, ini berbeza dengan UMNO yang mengikut semua peraturan dan membuat semua mesyuarat peringkat cawangan serta bahagian.

Malah, katanya, jika ada cawangan atau bahagian yang tidak menepati syarat, pihaknya akan mengarahkannya mengadakan mesyuarat semula.

“Dua hari lalu, IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) kata Malaysia berada di atas landasan menuju ekonomi maju. Ini bukan cawangan ‘parti bunga’ (merujuk PPBM) yang cakap, lagi pun mereka tidak ada cawangan, tidak ada mesyuarat cawangan dan bahagian, tiba-tiba ada mesyuarat agung (pusat),” katanya.

“UMNO kita buat semua, tertib ikut peraturan. Kalau tak betul, kita arah buat mesyuarat semula,” katanya.

Najib berkata, parti berkenaan disifatkan sebagai caca-marba apabila hendak menegur orang lain tetapi diri sendiri tidak betul, malah dianggap pakatan hipokrit.

“Cuba dengar ucapan mereka (pemimpin pembangkang) dulu mereka kata komplot cauvinis anti Melayu anti Islam, itu mereka cakap, jangan kata tidak (kerana) kita ada rakaman dan (kini) parti yang dikutuk itu mereka sudah tidur ‘sebantal’.

“Bukan kita tidak kenang jasa tetapi mereka melampau batas, kurang sayang kepada parti dan perjuangan. Pemimpin datang dan pergi tetapi parti kita kekal. Sayangkan parti dan teruskan perjuangan kita,” katanya.

Hari ini Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim, dilaporkan berkata notis pembubaran akan dikeluarkan jika PPBM gagal menyerahkan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta penyata kewangan dalam tempoh 30 hari berkuat kuasa 28 Februari lalu.

FB Komen

comments