JDT puas hati tiga mata oleh pasukan

KUALA TERENGGANU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi berpuas hati selepas pemainnya berjaya melaksanakan tugasan dengan berkesan demi mengutip tiga mata bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tambah Longhi kejayaan meleburkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim di depan penyokong mereka sendiri juga membuktikan pasukannya bukan ‘jaguh kampung’ sebaliknya sudah bersedia untuk menambah koleksi kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

“Kemenangan terhadap TFC yang juga pendatang baharu Liga Super ternyata memberi kelegaan dan kegembiraan kepada kelab dan saya walaupun pemain terpaksa bekerja keras untuk menundukkan pasukan lawan apatah lagi beraksi di depan ribuan penyokong mereka. Aksi ini bukan mudah, TFC adalah pasukan yang kuat. Begitupun pemain berjaya mengatasi cabaran diberikan pasukan tuan rumah dengan noktah kemenangan biarpun tipis.

“Namun apa yang penting, kami berjaya membawa pulang tiga mata penuh dan kemenangan ini jelas memberi keceriaan kepada pengurusan kelab dan semua pemain saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Pemain pertahanan import Harimau Selatan, Marcos Antonio layak digelar wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-29. Pertahanan kelahiran Brazil itu bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti skuad Penyu untuk meledak jaringan sekali gus berjaya menambah koleksi 12 mata dalam carta liga. Ketika ditanya mengenai percaturannya meletakkan kapten pasukan, Safiq Rahim sebagai pemain simpanan pada aksi penting itu sedangkan pasukannya tidak begitu konsisten sejak kebelakangan ini, beliau mengakui ada strategi tersendiri.

“Ini taktikal dan strategi JDT, tapi yang lebih penting kami berjaya membawa pulang tiga mata selepas menumpaskan lawan,” katanya.

FB Komen

comments