Jualan Sentuhan Rakyat ke Borneo

BAGAN DATUK: Program Jualan Sentuhan Rakyat, diteruskan dan kini diadakan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program berkenaan yang menawarkan harga barangan keperluan harian lebih rendah daripada harga pasaran, bertepatan dengan janji untuk mengutamakan rakyat dalam berhadapan kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan akan memperbanyak lagi program ini terutama di Sabah dan Sarawak, lebih banyak lagi di Semenanjung,” katanya berucap pada Karnival Jualan Sentuhan Rakyat di pekarangan bangunan Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di Simpang Tiga, Ahad.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata rakyat perlu diberi peluang menikmati harga barangan yang murah atau dijual pada harga munasabah.

Sementara itu, program berkenaan menawarkan barang keperluan harian yang dijual lebih murah antara lima peratus hingga 50 peratus daripada harga pasaran.

Antaranya, daging lembu segar yang dijual pada harga RM20 sekilogram (kg) kepada RM10 berbanding harga pasaran sekitar RM30 dan beras 10 kg daripada RM22 sekampit kepada RM10 sekampit berbanding harga pasaran RM26.

Kira-kira 3,000 penduduk sekitar daerah Bagan Datuk mengunjungi karnival itu, yang bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

FB Komen

comments