Kerajaan Selangor hanya tahu tuding jari

SHAH ALAM: Tindakan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menuding jari kepada Perdana Menteri tentang masalah air di negeri itu hanya untuk mengelirukan rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, ia jelas tidak wajar apabila kerajaan persekutuan diheret setiap kali berlakunya masalah air.

“Tindakan Mohamed Azmin menyalahkan Perdana Menteri juga tidak wajar. Akibat tidak cekap mentadbir, Kerajaan Selangor mengambil pendekatan menyalahkan orang lain.

“Malah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh turut menyalahkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) berkaitan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang.

“Sedangkan SPLASH adalah syarikat dimiliki kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti syarikat melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

“Selebihnya adalah apa yang kerajaan persetujui untuk melaksanakan pengambilalihan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (4), namun gagal dipersetujui Mohamed Azmin,” katanya dalam satu kenyataan.

Irmohizam berkata, kegagalan dalam mencapai persetujuan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung derita yang tidak berkesudahan.

“Sampai bilakah Mohamed Azmin mahu melihat rakyat berbaris panjang dan mengangkut bekalan air?

“Lebih mengecewakan, manifesto Pakatan Harapan (PH) langsung tidak menjurus ke arah penyelesaian air Selangor. Ia hanya bersifat populis untuk menambat hati pengundi,” katanya.

Beliau berkata, keperluan asas rakyat seperti air tidak boleh dipolemikkan sebagai isu politik untuk menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan Selangor harus segera fokus dalam menyelesaikan isu ini daripada melakukan perkara seperti baling batu, sembunyi tangan,” katanya.

FB Komen

comments