Manifesto PH hanya buat rakyat gembira 100 hari

PERMATANG PAUH: Manifesto gabungan pembangkang untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan tidak realistik, selain memberi harapan palsu kepada rakyat.

Jelas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hanya bersifat rancangan jangka pendek tanpa mengambil kira kesan ekonomi yang akan diterima pada masa akan datang.

“100 hari rakyat gembira, 1,000 hari rakyat menderita (100 hari rakyat gembira, 1,000 hari selepas itu rakyat menderita).

“Sebagai pentadbir (negara), mesti ada perancangan jangka panjang dan bukan sekadar keuntungan jangka pendek untuk memancing undi,” katanya ketika mengulas Manifesto PH yang dilancarkan minggu lalu.

Hishammuddin berkata, banyak janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan sudah dilaksanakan kerajaan Pusat yang ditadbir Barisan Nasional (BN), seperti perumahan mampu milik, mengukuhkan perkhidmatan awam dan gaji minimum.

“Manifesto ini jelas menunjukkan bahawa pembangkang sudah kehabisan idea.

“Ia juga menunjukkan bahawa pendirian mereka tidak konsisten. Sebelum ini, mereka mendakwa bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah dedak untuk memenangi hati rakyat. Sekarang, mereka berniat untuk melaksanakan perkara yang sama.

“Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mereka berkata sebelum ini mereka akan menghapuskannya untuk mengurangkan beban rakyat.

“Sehingga kini, mereka berhasrat untuk menggantikan GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sebuah sistem ketinggalan zaman, dimansuhkan di 160 negara di seluruh dunia,” katanya.

Hishammuddin berkata, banyak agenda dalam manifesto yang diumumkan pakatan pembangkang pada PRU-13 masih belum dilaksanakan.

Malah, katanya, rakyat Pulau Pinang kini terpaksa menanggung lebih banyak masalah susulan kegagalan kerajaan DAP menangani masalah bencana alam dan kesesakan lalu lintas.

“Di Pulau Pinang, terdapat juga banyak penyalahgunaan kuasa dan tuduhan rasuah.

“Kerajaan negeri jelas menyalahgunakan mandat yang diberikan oleh rakyat. Jadi rakyat mesti menilai semua ini dengan teliti,” katanya.

FB Komen

comments