Manifesto PH seperti ‘cawan beracun’ – Salleh

KUALA LUMPUR: Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) seperti memberikan rakyat ‘cawan beracun’ untuk minuman.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata manisfesto PH juga sekadar meraih untung dalam jangka pendek tetapi menanggung derita dalam jangka masa panjang.

“Seperti ungkapan di Amerika, tiada benda seperti makan tengah hari percuma. Siapa saja, dan di mana saja kena membayarnya. Dan manifesto Pakatan Harapan bermakna generasi akan datang harus menanggung akibat daripada kesilapan yang dilakukan generasi sekarang,” katanya dalam catatan di blog, sskeruak.blogsport.my.

Mengenai janji pembangkang untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jika mereka memegang tampuk kepimpinan dan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), beliau berkata tidak ada penjelasan mengenai berapa banyak pendapatan yang akan mereka peroleh untuk menggantikan kehilangan RM40 bilion jika GST dihapuskan.

“Di manakah pendapatan alternatif yang diperlukan untuk membayar barang dan perkhidmatan serta membangunkan negara? Berapakah hasil yang disumbangkan oleh SST?

“Menghapuskan GST bukanlah isu. Isunya ialah tiada penjelasan mengenai SST, yang biasanya lebih tinggi daripada GST,” katanya.

Mengenai janji pembangkang untuk memperkenalkan semula subsidi petrol, Salleh berkata: “Dari satu segi Pakatan Harapan menentang subsidi, manakala daripada aspek lain mereka mahu subsidi bagi petrol. Kebanyakan ahli ekonomi tidak bersetuju pemberian subsidi bagi petrol”.

Salleh berkata, manifesto itu hanya semata-mata bertujuan memancing undi.

“Sama seperti janji mereka pada 2008 apabila mahu menghapuskan tol lebuh raya tetapi selepas 10 tahun memerintah, masih tidak menghapuskan caj tol bagi lebuh raya di Selangor.

“Menghapuskan caj tol bagi lebuh raya bermakna kerajaan Selangor perlu membayar pampasan berbilion ringgit kepada pemegang konsesi setiap tahun, dan dari segi ekonomi ini adalah mustahil,” katanya. – BERNAMA

FB Komen

comments