AIR: KeTTHA nafi sabotaj Selangor

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) nafi menjadi dalang catuan bekalan air di Selangor angkara tindakan sabotaj penutupan paip utama.

Sebaran berita palsu oleh penyokong pembangkang menerusi ‘Edisi Kantoi’ itu sebaliknya dikitar semula kerana gambar sama pernah disebarkan pada 2013 dan 2014, dengan ‘menuding jari’ kepada Kerajaan Persekutuan, kononnya mendalangi sabotaj terbabit dan ia disifatkan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Zaini Ujang sebagai taktik kotor menyembunyikan ketidakcekapan Kerajaan Selangor dalam pengurusan bekalan air kepada pengguna di negeri itu.

“Rizab margin simpanan air di Selangor pada 2017 adalah sifar peratus. Justeru, ia dikenal pasti antara faktor penyumbang utama masalah bekalan air di negeri terbabit.

“Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau peningkatan permintaan secara mendadak seperti di musim perayaan, kemungkinan kawasan tertentu di Selangor untuk mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas penularan dakwaan menerusi media sosial oleh penyokong pembangkang bahawa krisis air di Selangor berikutan gerakan mensabotaj dengan penutupan paip utama.

Sebaran fitnah itu memetik maklumat yang kononnya disampaikan kakitangan Puncak Niaga dan petugas loji terbabit, turut mendakwa 20 paip ditutup, manakala hanya dua saluran air dibuka bagi mencetuskan kemarahan rakyat di negeri berkenaan.Zaini berkata, catuan bekalan air adalah petunjuk utama dalam mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air di Selangor yang ketika ini merekodkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 kes pada 2016, berbanding Pulau Pinang (3,778 kes) dan Melaka (2,267 kes).

FB Komen

comments