Guan Eng diberikan writ saman

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini menyerahkan writ saman pernyataan tuntuan kepada ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengaitkannya dengan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Peguam Datuk Seri Jaharberdeen Mohamed Yunoos dilaporkan tiba di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang bagi menyerahkan notis berkenaan di Pejabat Ketua Menteri kira-kira jam 11 pagi tadi.

Guan Eng diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan perkembangan sama ada mahu membela diri atau sebaliknya, kata Jahaberdeen lagi.

“Guan Eng mempunyai tempoh sehingga 14 hari untuk masukkan kehadiran jika beliau ingin membela diri.

“Saman ini berkaitan tuduhan fitnah Guan Eng terhadap anak guam saya yang dibuat pada 28 Februari pada sidang media di KOMTAR dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC),” katanya.

Tambahnya, pihaknya sudah memfailkan kes saman fitnah berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, tuduhan itu memberi kesan dan implikasi buruk terhadap reputasi Abdul Azeez sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji.

“Pengurusan kes akan dibuat pada 9 April depan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng terdahulu pada minggu lalu diberi tempoh empat hari untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua kenyataan fitnahnya yang mengaitkan Abdul Azeez dengan bayaran perundingan RM3 juta oleh pemaju projek terowong dasar laut Pulau Pinang namun Setiausaha Agung DAP berkenaan enggan berbuat demikian.

FB Komen

comments