Malaysia negara membangun paling pesat

KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara membangun yang paling pesat berperanan sebagai pemain ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun di Asia berdasarkan fakta terkandung dalam Laporan Kompetitif Global, demikian kata Datuk Seri Hasan Malek.

Jelas Ahli Parlimen Kuala Pilah ianya menjadikan matlamat menempatkan Malaysia sebagai 20 negara teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi menjelang tahun 2050 adalah realistik untuk dicapai.

“Ia boleh dicapai jika momentum ini dikekalkan dan ditingkatkan lagi pada masa depan.

“Sasaran kerajaan untuk meletakkan Malaysia dalam dalam negara maju menjelang 2050 sebenarnya realistik dan berada di landasan yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  membahas usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Dewan Rakyat.

Namun, Hasan berkata, di sebalik kemajuan negara, paradigma yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat adalah apabila urbanisasi didorong oleh komersialisasi ekonomi berkembang pesat.

“Pola kehidupan konvensional akan berubah, hubungan interpersonal yang berteraskan nilai kesalingan kolektif akan dicabar oleh budaya baharu yang didasari semangat individualistik yang ekstrem.

“Apakah kita bersedia berkompromi dengan kebudayaan moden dan sanggup pula menyerahkan jati diri kita yang berpaksikan agama dan nilai ketimuran terhadap ekonomi,” katanya.

FB Komen

comments