Sabah perlu berikan mandat besar kepada BN

SEPANGGAR: Barisan Nasional (BN) pda pilihan raya akan datang memerlukan mandat yang besar daripada pengundi Sabah, kata Menteri pertahanan Datuk Seri Hishamuddn Hussein.

Ujarnya BN perlu meneruskan pertahanan dan keselamatan bagi menangani ancaman yang boleh menjejaskan keamanan dan kedaulatan negeri tersebut.

“Kita perlukan mandat… mandat besar daripada rakyat Sabah, mandat yang besar daripada anggota kita supaya agenda dan harapan untuk memastikan keselamatan Sabah, untuk memastikan kebajikan warga kita berada di tahap yang boleh kita banggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Jelajah Perkasa Perwira dan Ramah Mesra Menteri Pertahanan Bersama Warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu yang dihadiri kira-kira 3,000 anggota di Teluk Sepanggar.

Tambah beliau, komitmen dan kesungguhan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempertahankan Sabah, khususnya TLDM dan gandingan Kementerian Pertahanan dengan industri pertahanan serta pemimpin di peringkat Pusat dan negeri, jelas menunjukkan usaha berterusan kerajaan yang tidak boleh dipertikaikan.

“Ini bagi memastikan keselamatan dan pertahanan bumi dan rakyat Sabah, serta kesiapsiagaan kita di Sabah berada pada tahap yang boleh diharapkan,” katanya.

Sempena majlis itu, Hishammuddin merasmikan kiosk petrol Petronas yang dibuka di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan meninjau kerosakan jambatan Kampung Gentisan yang menjejaskan laluan perhubungan ke pangkalan berkenaan.

Beliau turut mengumumkan projek pembinaan 1,700 rumah untuk anggota TLDM di pangkalan berkenaan yang sebelum ini dicadang di Kampung Laya-Laya, Tuaran, dilaksanakan di kawasan pangkalan demi kepentingan anggota dan keluarga mereka.

Katanya, sekolah dan hospital angkatan tentera di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu juga tersenarai antara 38 sekolah dan lima hospital dalam pangkalan tentera di seluruh negara yang akan dinaikkan taraf menerusi agenda pendidikan dan kesihatan.

Hishammuddin turut mengumumkan peruntukan RM5 juta disalurkan bagi melaksanakan penyelenggaraan perumahan anggota di pangkalan berkenaan dengan kerjasama Abdul Rahman selaku menteri bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU).

FB Komen

comments