Wenger bimbang penyokong Arsenal memencil diri

LONDON: Arsene Wenger mengakui Arsenal bergelut untuk memenangi semula hati peminat yang marah apabila beribu-ribu enggan datang ketika kemenangan 3-0 ke atas Watford pada aksi Liga Perdana Inggeris.

Buat perlawanan kedua berturut-turut di Stadium Emirates, Arsenal bermain di depan kerusi merah yang kosong, malam tadi.

Arsenal menyalahkan salji tebal kerana kehadiran penonton yang kecil ketika kalah kepada Manchester City baru-baru ini namun ketiadaan mereka bertemu Watford mungkin disebabkan gabungan kemarahan dan sikap tidak peduli selepas satu lagi musim hambar.

“Pasti -4 dan bersalji lagi di Emirates,” tulis pemain legenda Manchester United, Gary Neville dalam Twitter selepas sepak mula.

Namun Wenger, yang berusaha mengekalkan jawatannya, akur beliau boleh faham kenapa penyokong Arsenal terlalu kecewa dengan persembahan dan keputusan pasukan mereka.

“Ada terlalu banyak negatif. Ia seperti hujan di England, ia terlalu mudah didapati,” katanya.

“Sudah tentu saya bimbang kerana saya mahu penyokong kami setia di belakang pasukan, tapi selepas apa yang berlaku minggu itu ia mudah difahami.

“Kami mahukan peminat menyokong dan kami akan melakukan apa saja untuk menjadikannya kenyataan.

“Saya menghormati pendapat setiap orang tapi saya hanya fokus terhadap tugas saya.”

Peminat yang tidak hadir terlepas peluang menonton aksi mantap Arsenal ketika gol daripada Shkodran Mustafi, Pierre-Emerick Aubameyang dan Henrikh Mkhitaryan menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana.

Namun kemenangan itu tidak banyak meningkatkan prospek Arsenal untuk berakhir dalam kalangan empat teratas – yang melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara – dan tidak menolak tanggapan peminat yang berasakan satu-satunya cara untuk meletakkan kelab itu ke landasan yang baik adalah dengan menamatkan tempoh 22 tahun Wenger di kelab itu.

FB Komen

comments