Kerajaan adakan pertemuan wakil media sosial

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengadakan perjumpaan dengan wakil penyedia platform media sosial, Asia Internet Coalition, Google, Facebook (FB) dan Twitter termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai persediaan untuk menggubal undang-undang bersifat inklusif bagi mengekang berita palsu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pertemuan itu juga membolehkan kerajaan memperoleh lebih banyak pandangan dan input daripada pemain utama bidang media baharu.

“Pertemuan ini penting bagi memastikan rang undang-undang yang sedang digubal itu komprehensif merangkumi setiap aspek. Tindakan ini juga membuktikan kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang.

“Rang undang-undang ini juga bertujuan melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa berita palsu.

“Saya percaya ia menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita serta maklumat palsu daripada menular dan membarah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan sebagai berkata, satu jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu.

Ia selaras usaha kerajaan menangani ancaman kestabilan politik yang turut menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

FB Komen

comments