RM78 juta untuk PPR di Kangar

KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM78 juta bagi membina 500 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Parlimen Kangar.

Beliau berkaya, Kerajaan Persekutuan berupaya mengumumkan projek tambahan di negeri ini susulan keadaan ekonomi negara yang sedang berkembang pesat, ditambah aspek kewangan berada pada tahap yang mantap.

“Kewangan Malaysia begitu mantap dan hasil ekonomi kita juga sedang berkembang, maka saya nak umumkan projek yang kita sudah luluskan.

“Ia termasuklah projek baharu membabitkan 500 unit rumah PPR di Kangar dengan peruntukkan RM78 juta, dengan ini ketiga-tiga Parlimen di Perlis mempunyai PPR masing-masing,” katanya ketika berucap pada perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perlis dan Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Penjawat Awam.

UTC Perlis yang dibina dengan kos RM35.5 juta hanya mengambil masa selama 10 minggu untuk disiapkan sebelum mula beroperasi sejak Oktober 2017 lalu.

Najib dalam masa yang sama turut meluluskan peruntukkan tambahan RM500,000 bagi pembinaan surau awam, laluan berbumbung dan pagar di UTC Perlis.

Selain PPR Kangar, Najib sebelum ini turut meluluskan dua lagi projek sama membabitkan 500 unit PPR di Padang Besar dengan peruntukkan RM78 juta dan 400 unit PPR di Arau (RM62.4 juta).

Selain itu turut diluluskan kerajaan sebelum ini ialah pembinaan loji rawatan air (LRA) di Tasoh berkapasiti sebanyak 40 juta liter sehari membabitkan kos RM41 juta dan projek menangani air tidak terhasil dengan peruntukkan RM50.5 juta.

FB Komen

comments