Kerajaan BN yang struktur PP dengan baik bukan DAP

GEORGETOWN: Kadar hutang terendah direkodkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP adalah hasil hasil penstrukturan semula kerajaan persekutuan membabitkan nilai RM655.24 juta pada tahun 2011.

Bendahari GERAKAN negeri, Ng Fook On, justeru berkata kerajaan negeri tidak menyumbang kepada tindakan pengurusan kewangan yang baik di negeri itu.

“Terkini, beliau menyatakan hutang kerajaan negeri hanya RM64 juta dan muncul sebagai kadar terendah berbanding negeri lain, konoNnya ekoran pengurusan kewangan yang baik.

“Saya ingin mengingatkan Guan Eng supaya memberi penjelasan yang betul kepada rakyat berhubung penurunan kadar hutang negeri ekoran pengambilalihan sebanyak RM655.24 juta oleh Kerajaan Persekutuan ketika proses penstrukturan semula menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

“Malah, hutang negeri pada hujung tahun 2016 bernilai RM721.57 juta, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak melakukan penstrukturan semula kadar berkenaan,” katanya pada sidang media hari ini.

Fook On berkata, pembentangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada tahun 2012 jelas menyatakan Inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air yang menghasilkan penurunan drastik kadar hutang negeri, membabitkan nilai RM655.24 juta yang terpaksa ditanggung selama 45 tahun.

“RM655.24 juta ini adalah liabiliti ditanggung Kerajaan Persekutuan bagi suatu jangka panjang iaitu 45 tahun. Justeru, kerajaan negeri tidak seharusnya memberi tanggapan salah mengenai kadar hutang Pulau Pinang kepada rakyat.

“Malah, penstrukturan semula kadar hutang itu jauh lebih besar dinikmati mereka berbanding ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Pulau Pinang, kerana kerajaan negeri terdahulu hanya mencatatkan kadar hutang RM496.51 juta,” katanya.

FB Komen

comments