PPBM belum isytihar harta

SUBANG JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sehingga kini belum mengisytiharkan harta melalui akuan bersumpah seperti disarankan badan pengkaji bebas, Invoke Malaysia, kata Pengerusinya Rafizi Ramli.

Menurutnya hanya 103 individu daripada PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) yang menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian.

“Masa saya bentangkan (cadangan pengisytiharan harta) kepada kepemimpinan PPBM, memang mereka menyatakan kena balik (rujuk kepada parti) untuk buat keputusan terlebih dahulu.

“Memang tiada sesiapa daripada PPBM yang membuat keputusan untuk isytihar harta,” katanya ketika ditemui pada majlis Ikrar Khidmat Rakyat dan Pengisytiharan Harta di sini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, berkata tiada paksaan untuk kedua-dua parti berkenaan mengisytiharkan harta terutama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pengisytiharan harta ini hanya kepada mereka yang sukarela dan Invoke akan membantu mereka yang mengisytihar dari segi berkempen ketika pilihan raya nanti,” katanya.

FB Komen

comments