Rakyat Malaysia ambil garam lebih

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata rakyat Malaysia mengambil garam melebihi syor oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya lagi walaupun kajian ‘My Salt 2015’ mengatakan bahawa garam berlebihan itu diambil oleh rakyat berusia 18 tahun ke atas, namun beliau percaya jumlah pengambilan garam lebih tinggi bagi rakyat berusia 18 tahun ke bawah.

Pengambilan garam berlebihan berisiko diserang penyakit darah tinggi, jantung dan angin ahmar jika tidak dikawal.

“Kami mendapati kanak-kanak di bawah umur lebih cenderung mengambil makanan mengandungi kandungan garam tinggi seperti makanan diproses, snek dan makanan ringan,” katanya pada sidang media sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2018 bertema, ‘5 Cara Capai 5 Gram Garam’ di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi dan jika tidak dikawal boleh mengundang penyakit jantung dan angin ahmar serta boleh menyebabkan kematian.

Katanya antara makanan kegemaran rakyat Malaysia yang perlu dikawal termasuk sos cili, sos tomato, makanan dalam tin, nugget, burger, makanan diawet, ikan bilis, ikan masin dan keropok.

Beliau berkata WHO menyarankan pengambilan garam seharusnya tidak melebihi lima gram atau kurang daripada satu sudu teh sehari.

“Selain itu, WHO juga meletakkan sasaran untuk mengurangkan pengambilan garam sehingga 30 peratus menjelang 2025.

“Bagi Malaysia, kementerian menetapkan sasaran pengurangan pengambilan garam daripada 8.7 gram kepada enam gram menjelang 2025,” katanya.

FB Komen

comments