Selangor sengaja lengah penstrukturan air

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sengaja melengahkan isu penstrukturan semula industri air negeri ini kerana tidak mahu membuat sebarang pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan atau Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Ujarnya tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri yang ditadbir Menteri besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibuat agar dapat berterusan mengambil air tanpa perlu membuat bayaran.

Katanya, dengan tindakan itu, ia menunjukkan kerajaan negeri mahu mengambil kesempatan selagi perjanjian tidak ditandatangani.

“Selagi pengambilan SPLASH tidak selesai, maka kerajaan negeri berpeluang untuk tidak membayar segala pembayaran yang sepatutnya.

“Hari ini kita lihat kerajaan negeri kutip air, kutip bil. Sepatutnya bayaran investment (pelaburan) dibuat Kerajaan Persekutuan ini dibayar semula tetapi (kerajaan negeri) tidak membayarnya.

“Saya lihat perkara ini sengaja dilewatkan kerana tidak mahu bayar tetapi taktik ini akan merugikan rakyat dan Selangor sendiri,” katanya ketika hadir ke Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan KASIH Selangor.

Mengulas lanjut, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menyalahkan Kerajaan Persekutuan berhubung masalah air di negeri ini sedangkan ia berpunca daripada kelewatan memuktamadkan proses penstrukturan semula industri air itu.

Katanya, Mohamed Azmin juga dilihat cuba menggagalkan rancangan yang dibuat bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memajukan negeri ini.

“Apa usaha Tan Sri Khalid, seolah-olah tidak diteruskan Mohamed Azmin. Bukan hanya isu air tetapi juga isu KIDEX (Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara).

Pada masa sama, Noh turut mencabar Mohamed Azmin untuk bertanyakan sebarang soalan mengenai isu air di Dewan Rakyat memandangkan persidangan sedang berlangsung.

“Apa sahaja yang tidak puas hati, tanya di Parlimen. Jangan cakap di luar, tanya Menteri sendiri,” katanya.

FB Komen

comments