TPM yakin usul persempadanan semula dapat sokongan

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal dibentang di Dewan Rakyat akan diluluskan dengan majoriti mudah.

Katanya, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen ketika ini selepas kematian wakil rakyat dan hanya memerlukan majoriti mudah untuk menerima usul berkenaan.

“Saya yakin dapat memperoleh sekurang-kurangnya 111 undi atau lebih daripada 220 Ahli Parlimen yang ada sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Kami juga yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat lebih daripada itu kerana kami ada 132 Ahli Parlimen,” katanya berucap pada program ‘Luncheon Talk’ bersama Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebaik usul itu diluluskan, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

Katanya, Dewan Rakyat bersidang hingga 5 April manakala Dewan Negara mulai bersidang pada 16 April hingga 30 April.

“Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang selepas titah Yang di-Pertuan Agong selesai dibahaskan dan beberapa urusan lain termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan.

“Itu saja yang saya boleh beritahu. Ini adalah maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu.

“Saya tidak berhasrat sentuh mengenai pilihan raya tetapi saya sudah baca pemikiran tuan-tuan,” katanya.

FB Komen

comments