Tun M pembunuh politik

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai ‘pembunuh politik bersiri’ dan ia dibuktikan apabila ramai tokoh politik UMNO disingkirkan menerusi persepsi kebencian yang diuar-uarkan olehnya, demikian kata Ketua Penerangan parti itu, Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, beliau berkata pendekatan sama terhadap Datuk Seri Najib tidak berkesan hingga memaksa Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mempunyai pilihan lain, selain bergabung dengan musuh politik.

“Dalam perjalanan politik negara, ramai ‘syuhada’ politik sepanjang mereka terbabit dengan Dr Mahathir sejak zaman Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh (Hamzah), (Datuk) Suhaimi Kamaruddin dan sebagainya.

“Setiap kali itu, ada benda direka untuk halalkan (tindakan Dr Mahathir) hingga berlaku proses menyingkirkan personaliti tertentu.

“Dr Mahathir seperti ‘serial political assassination’, bagi mereka yang tidak dikehendaki akan diwujudkan pelbagai cerita untuk menanam kebencian ahli dan rakyat. Kecuali Najib, Dr Mahathir gagal untuk menimbulkan kebencian kerana orang UMNO tidak ikut.

“Apabila orang UMNO tak ikut, maka terjadilah perkara paling aneh sekali, terpaksa bergabung dengan musuh politik, sebab tidak ada pilihan lain, nak juga terpaksa telan (berbaik) dengan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), telan DAP, tetapi masih lagi naratif sama mencuba untuk melakukan pembunuhan politik terhadap Najib,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi moderator bicara santai ‘Anda Tanya Kita Jawab’, Diskusi UMNO-Online, di Menara Dato Onn, di sini.

Diskusi itu turut menampilkan dua ahli panel iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata Dr Mahathir kini berdepan situasi baharu apabila perlu menyingkirkan pemimpin UMNO dari luar dengan bantuan musuh politiknya.

“Selama ini dia bunuh dari dalam rumah, sekarang dia berada di luar rumah, dia nak bakar rumah.

“Tetapi kita sudah belajar dari sejarah, hingga peringkat dia singkirkan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), kita masih boleh bertoleransi.

“Bila sampai sekarang ini dengan cara dia keluar rumah, bukan saja nak bunuh penghuni dalam rumah, malah dia nak bakar rumah, maka kita tolak dia sepenuhnya,” katanya.

FB Komen

comments