Che Ta anti perampas!

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rozita Che Wan, meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap segelintir wanita yang suka merampas suami orang lain.

Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, 45, turut meluahkan rasa hairannya untuk sebab seorang perempuan menghancurkan hati wanita lain.

“Kalau ada pilihan untuk mengahwini lelaki bujang, mengapa perlu mencari suami orang? Saya memang tak boleh terima jika ada wanita yang sanggup menghancurkan rumah tangga orang lain.

“Bagi wanita yang bermadu atau suaminya dirampas orang lain, jangan lagi dikenang perkara yang lalu.

“Kena teruskan hidup kerana Tuhan akan menggantikannya dengan yang lebih baik selepas itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Duta Projek Perumahan Tunas Homes & Tunas Boulevard.

Pada pertanyaan, apakah reaksinya jika ada pihak cuba untuk menggugat keharmonian rumah tangganya, sambil bergurau, pelakon Kiah Pekasam ini berkata wanita itu memang sengaja mencari nahas.

“Kalau perempuan itu berani, cubalah! Saya akan koyakkan mulut dia,” katanya sambil tertawa.

Terdahulu, isteri kepada pelakon Zain Saidin ini pernah memuat naik status di laman sosialnya yang secara terang-terangan menyindir golongan wanita yang merelakan diri menjadi orang ketiga.

FB Komen

comments