BN Kelantan perlu guna peluang tewas Pas

PASIR PUTEH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) bahawa kini masa paling sesuai mendapatkan sokongan rakyat dengan parti pembangkang berada dalam keadaan ‘kucar bojeng’ (bercelaru).

Timbalan Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya mengucapkan selamat tinggal kepada parti ‘kucar bojeng’ dan BN serta UMNO wajar merampas kembali pemerintahan di Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN, meminta jentera BN memperoleh lebih lima kerusi Parlimen di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi membolehkan BN mendapat dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya yakin Tok Pa (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed) bakal memimpin kerajaan negeri apabila semua jentera BN mengambil alih lebih banyak kerusi di bawah panji BN.

“Saya yakin Tok Pa akan mengetuai kita untuk membawa pelbagai pembangunan di Kelantan,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kompleks UMNO Uthmaniyah, di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Hadir sama Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan RM2 juta untuk membaik pulih rumah rakyat miskin dan RM500,000 kepada ibu tunggal di seluruh kawasan Parlimen Pasir Puteh.

Peruntukan RM1 juta turut diberi untuk menaik taraf Dewan Omar di Kompleks UMNO Uthmaniyah, di sini.

Dalam sidang media selepas majlis, Ahmad Zahid berkata, budaya ‘cah keting’ tidak timbul dalam kalangan pemimpin BN di negeri itu berbanding PRU-13.

“Saya banyak melakukan pertemuan dengan Tok Pa bersama ketua bahagian di negeri ini dan mereka sudah memastikan tiada lagi ‘titik bengik’ yang akan dilayan walaupun permintaan itu masih wujud.

“Masalah ini boleh diatasi sepenuhnya supaya kerjasama penuh pemimpin dan akar umbi terbentuk bagi membolehkan pentadbiran Kelantan menjadi milik BN.

“Kita bukan nak serang dan burukkan pihak lawan, tapi kita akan tawarkan apa yang boleh diberikan kepada rakyat Kelantan dan saya berazam menunaikan semua janji termasuk yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Jawatankuasa Tindakan Susulan yang ditubuhkan,” katanya.

FB Komen

comments