‘Jangan tinggalkan kami TMJ’

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempertimbangkan semula hasrat beliau untuk meletak jawatan selaku presiden badan induk itu.

Tunku Ismail mengejutkan kancah bola sepak tempatan malam tadi apabila mengumumkan perlu melepaskan jawatannya susulan ranking skuad kebangsaan yang merudum sehingga ke tangga 178 dunia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin menyatakan keputusan Tunku Ismail itu didorong kekecewaan beliau terhadap kritikan di laman media sosial yang kerap kali akan menyalahkan Presiden FAM setiap kali ranking skuad Harimau Malaya jatuh.

“Justeru, saya bersama-sama barisan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM (Exco FAM) bersetuju untuk terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Tunku Ismail sebagai Presiden FAM dan mahu beliau terus kekal memegang jawatan berkenaan.

“Sudah tentu jika kita membiarkan Tunku Ismail meletak jawatan, kita juga akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapa yang layak menggantikan tempat beliau.

“Pada saya, semua ahli gabungan FAM turut sependapat yang Tunku Ismail satu-satunya insan pada masa sekarang ini yang benar-benar layak menduduki kerusi Presiden FAM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hamidin turut menyatakan Tunku Ismail masih belum menyerahkan surat peletakan jawatan sekali gus akan terus kekal selaku presiden.

“Saya ingin menegaskan Tunku Ismail masih sah Presiden FAM kerana mengikut prosedur, jika mana-mana Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM mahu meletak jawatan, individu berkenaan perlu menghantar surat rasmi dan Jawatankuasa Eksekutif FAM berhak menerima atau menolak peletakan jawatan itu,” katanya.

Selain itu, Hamidin turut menegaskan skuad kebangsaan berpeluang memperbaiki ranking daripada terus menjunam apabila dijadualkan berdepan Mongolia dalam aksi persahabatan dan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan.

“Isu ranking ini boleh diperbaiki apabila skuad kebangsaan yang kini dikendalikan Tan Cheng Hoe bakal memulakan aksi 2018 dengan bertemu Mongolia dan Lubnan, bulan ini.

“Keputusan positif bakal dicapai dan ranking Malaysia akan mula meningkat dalam kemas kini seterusnya bulan depan.”

Hamidin turut menyenaraikan beberapa penambahbaikan yang dibawa oleh Tunku Ismail termasuk peningkatan dari segi geran tahunan untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) menerusi kemasukan pelbagai penaja serta pencapaian pasukan dalam tiga peringkat usia di pertandingan Asia.

“Kredibiliti dimiliki Tunku Ismail turut memudahkan FAM menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak di seluruh dunia serta memperkasakan lagi hubungan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).”

FB Komen

comments