Bola sepak negara perlukan TMJ – Khairy

BENTONG: Bola sepak negara masih memerlukan perkhidmatan dan sumbangan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam membangunkan arena sukan nombor satu negara itu.

Sehubungan itu, menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Tunku Ismail tidak perlu meninggalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Tidak ada orang lain boleh ganti tempat beliau bagi menerajui bola sepak negara dan beliau tidak boleh meninggalkan bola sepak negara,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis perasmian Program Fit Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Padang Tras di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan.

Kelmarin Tunku Ismail yang lebih dikenali dengan TMJ meletak jawatan Presiden FAM dengan memberi alasan kedudukan Harimau Malaya yang jatuh ke kedudukan ke-178 dunia.

Ini adalah kali kedua Tunku Mahkota Johor itu melepaskan jawatan dalam FAM setelah pertama kali melakukannya pada Februari 2015 tidak lama selepas dilantik sebagai Penasihat Presiden oleh Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika itu.

Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam nada sinis berkata sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan kerusi No. 1 dalam badan induk tersebut kerana ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara kerana Malaysia jatuh tiga anak tangga.

FB Komen

comments