MCA kemuka 50 peratus calon muka baru

KUALA TERENGGANU: Lebih 50 peratus calon yang akan diketengahkan MCA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah muka baru yang berusia 50 tahun ke bawah.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengesahkan perkara itu berkata, senarai calon itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tindakan selanjutnya.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan memberitahu, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri bagi memutuskan perkara itu.

“Kita sudah senarai pendek calon kita dan telah hantar kepada Perdana Menteri untuk dimuktamadkan. Kita masih tunggu dan begitu juga parti Umno dan parti komponen BN lain, semua sedang menunggu.

“Terpulang kepada PM dan kita (MCA) telah muktamadkan senarai calon ini. Kebanyakannya adalah muka baharu dan ramai juga calon wanita, kita tunggulah,” katanya.

Beliau yang dipetik Utusan Malaysia, menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Ulangtahun MCA Terengganu di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Wei Sin di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Sabri Alwi; Ketua Pemuda Umno negeri, Johari Abu Bakar; Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Terengganu, Rozalina Mokhtar dan calon MCA kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Toh Seng Cheng.

Tiong Lai seterusnya memberi jaminan MCA akan memastikan masalah dalaman parti ditangani dengan baik menerusi saluran sepatutnya, bukan melalui media sosial, demonstrasi dan sebagainya.

Beliau turut menggesa seluruh ahli MCA agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRU-14 dengan sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum kali ini.

Tiong Lai juga menarik perhatian tentang pentingnya MCA sebagai parti yang mewakili masyarakat Cina dan yakin dengan kerjasama erat bersama parti komponen lain bagi memastikan BN berada di landasan yang kukuh.

FB Komen

comments