Memerangi keganasan tidak boleh bersendirian – Najib

SYDNEY: Negara anggota ASEAN dan Australia perlu meningkatkan dan menggiatkan kerjasama mencegah penyebaran ideologi pengganas, di samping mengamalkan pendekatan lebih berkesan bagi memerangi ancaman radikalisasi dan pengganas ekstremis di Asia Pasifik, kata Datuk Seri Najib Razak.

“Tiada negara yang mampu memerangi keganasan secara bersendirian. Sekiranya kita lebih bersatu, maka akan menjadi lebih berkesan dalam memerangi ancaman yang dahsyat dan tidak berperikemanusiaan ini.

“Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang selamat daripadanya tetapi andainya kita bersatu, kita akan lebih selamat,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan di International Conference Centre (ICC) Sydney.

Persidangan itu adalah antara acara utama yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia selama dua hari bermula hari ini.

Persidangan itu menonjolkan mengenai kepentingan kerjasama serantau bagi menangani ancaman keganasan dan gerakan pelampau yang dihadapi bersama.

Perdana Menteri berkata rantau ini bukan sahaja berdepan dengan risiko menerima akibat buruk daripada kegiatan jenayah rentas sempadan, tetapi juga banyak isu lain, termasuk keganasan dan pergerakan manusia yang tidak menghormati peraturan berkaitan sempadan.

“Lebih erat kita bekerjasama berhubung isu ini, maka kita akan lebih berjaya. Sebagai contoh, saya ingin sebut mengenai Redback Operation yang diadakan setiap tahun antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Pengawal Sempadan Australia serta inisiatif Rondaan Selat Melaka, yang menggandingkan Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Mekanisme serupa juga diwujudkan di laluan air strategik lain seperti di Laut Sulu, di mana pihak berkuasa Malaysia, Indonesia dan Filipina bekerjasama rapat untuk mengekang kegiatan menculik dan pelanunan di wilayah perairan yang luas itu,” katanya.

Ketika berkongsi pengalaman Malaysia dalam memerangi keganasan, Najib berkata Malaysia mempunyai senarai panjang serta rekod yang konsisten dalam menghadapi cabaran berkaitan keganasan dan keganasan pelampau.

” Kami luluskan beberapa undang-undang, termasuk Akta Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Perlu) kerana kami bertekad untuk tidak menunggu sehingga sesuatu kekejaman itu berlaku, baru hendak diambil tindakan.

“Sekiranya kita ingin bertindak dengan berkesan untuk menyelamatkan nyawa, maka kita perlulah mempunyai undang-undang yang dapat mencegah tindakan keganasan, bukan hanya menangani perkara yang muncul selepasnya,” kata beliau.

Perdana menteri berkata undang-undang itu menyelamatkan banyak nyawa, bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi juga bukan rakyat Malaysia dan beliau berbangga untuk menyatakan bahawa tiada sebarang tindakan pengganas yang mengakibatkan kehilangan nyawa berlaku di Malaysia.

FB Komen

comments