35 juta dapat manfaat K1M

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 35 juta penduduk mendapat manfaat daripada Klinik 1Malaysia (K1M) sejak penubuhannya pada 2010, di mana peratus kunjungan bertambah antara dua hingga enam peratus setiap tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia membuktikan bahawa matlamat untuk membantu akses golongan berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan kepada perkhidmatan kesihatan mencapai sasarannya.

Katanya, penubuhan K1M antara inisiatif kerajaan dalam usaha mengurangkan beban dan kos sara hidup rakyat menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP).

“Di bawah pelan Transformasi Negara 2050 (TN50) pula penubuhannya antara lain, turut mengambil kira kemudahan masyarakat kawasan bandar dengan kepadatan penduduk tinggi memperoleh manfaat kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai manfaat diterima rakyat daripada kerajaan dalam sektor kesihatan negara, khususnya menerusi peranan dimainkan K1M.

Sejak ditubuhkan kira-kira lapan tahun lalu, antara kemudahan disediakan termasuk rawatan asas, rawatan penyakit kronik serta kesihatan ibu dan anak, di mana bayaran RM1 dikenakan bagi warganegara dan percuma untuk warga emas.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga Januari 2018, terdapat 346 K1M di seluruh negara, tidak termasuk 21 K1M yang dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan iaitu di 19 Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara.

“Klinik menyediakan rawatan asas, membabitkan rawatan penyakit ringan seperti demam, batuk, selesema selain prosedur rawatan cucian luka, ujian makmal ringkas seperti ujian glukos darah kapilari dan ujian air kencing menggunakan ‘urine dipstick’.

“Rawatan penyakit kronik membabitkan rawatan susulan kes stabil, penyakit kronik dan rawatan kes baru diabetes dan hipertensi turut disediakan di K1M ,” katanya.

Tambah beliau, dalam usaha menggalakkan kunjungan masyarakat ke K1M, Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan perluasan perkhidmatan Pegawai Perubatan secara berperingkat di mana ketika ini terdapat sejumlah 102 K1M yang mempunyai perkhidmatan Pegawai Perubatan.

“Penempatan Pegawai Perubatan di K1M, membabitkan penambahan perjawatan anggota sokongan, khususnya di bahagian farmasi.

“Proses berkenaan, perlu dilaksanakan secara berperingkat dan teratur bagi memastikan perkhidmatan terbaik sentiasa dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.

FB Komen

comments