Najib kutuk serangan agen saraf di Salisbury

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengutuk serangan agen saraf baru-baru ini ke atas bekas pegawai perisikan tentera Russia, Sergei Skripal, 66, dan anak perempuannya Yulia, 33, di Salisbury, barat daya London.

“Mempunyai pengalaman yang serupa di tanah air, kita mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata kimia dalam keadaan apa sekalipun, #SalisburyAttack,” kata Najib dalam Twitter beliau, hari ini.

Bekas perisik Russia yang menjadi ejen talam dua muka bagi Britain, Sergei dan Yulia ditemui rebah di bangku di luar sebuah pusat beli belah di Salisbury pada 4 Mac. Mereka masih dalam keadaan kritikal di sebuah hospital.

Pihak berkuasa British membuat kesimpulan bahawa Sergei dan Yulia diracun dengan agen saraf ‘Novichok’.

Begitu juga di Malaysia, Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, yang sedang menunggu penerbangan ke Macau di klia2 dipercayai dibunuh selepas mukanya disapu dengan agen saraf VX pada 13 Februari 2017. – BERNAMA

FB Komen

comments