Rundingan kerusi Gerakan dan MCA belum selesai

PUTRAJAYA: Gerakan sedang memuktamadkan rundingan untuk menukar lima kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan parti komponen MCA, menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata langkah itu perlu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti yang lebih besar.

“Jika kami merasakan bertukar kerusi boleh membantu mana-mana parti untuk menang, jadi kami akan lakukan. Kami telah berunding. Sesetengah telah mencapai persetujuan, sebahagian masih lagi belum selesai,” katanya dalam temu bual bersama Bernama dan New Straits Times semalam di ibu pejabatnya.

Beliau enggan memberikan butiran lanjut mengenai pembahagian kerusi berkenaan dan pecahannya tetapi difahamkan kerusi yang terlibat adalah di Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur.

Mah berkata langkah itu juga merupakan sebahagian daripada kerjasama yang dicapai parti itu dengan MCA pada Januari lepas, yang kedua-dua parti bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menghadapi PRU14.

“Pada 2013, kedua-dua parti, Gerakan dan MCA tidak beroleh banyak kemenangan. Kami tidak menafikan wujud masalah dan rasa tidak senang antara satu sama lain ketika itu. Tetapi sekarang, kami harus menjalinkan kerjasama lebih erat,” katanya.

Gerakan akan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN kali ini berbanding 11 Parlimen dan 31 DUN pada pilihan raya sebelum ini.

Sementara itu, Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan, walaupun menghadapi cabaran daripada DAP.

“Saya akan terus mempertahankan Teluk Intan. Sekian lama saya di Teluk Intan sejak saya memulakan karier dalam bidang politik. Jadi saya tidak mahu bertukar-tukar tempat. Selepas saya kalah, saya tetap bertahan,” katanya.

Beliau membuat penampilan sulung bertanding di Parlimen Teluk Intan pada 1999 dan mempertahankan kerusi itu pada 2004 sebelum tewas di tangan DAP pada 2008 dan 2013.

Pada PRU13, Gerakan hanya memenangi satu kerusi Parlimen di Simpang Renggam, Johor dan dua kerusi DUN di Sabah. Bagaimanapun Mah menyumbangkan satu kerusi Parlimen (Teluk Intan) melalui pilihan raya kecil pada 2014.

Dalam pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, Mah berjaya merampas semula kerusi DAP dalam pertarungan yang sengit. Beliau menang dengan majoriti tipis 238 undi.

FB Komen

comments