Azmin bertelagah dengan timbalan menteri pula

KUALA LUMPUR: Sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika apabila Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique, enggan menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak).

Suasana Dewan bertukar hingar apabila Mohamed Azmin mengajukan soalan adakah kementerian ada berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melihat semula garis panduan yang dikenakan kerana lebih 60 peratus pemohon rumah mampu milik di Selangor gagal mendapatkan pinjaman disebabkan kawalan kredit yang dikenakan bank pusat itu.

Halimah yang baru selesai menjawab soalan berhubung isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dikemukakan Datuk Linda Tsen Thau Lin (Batu Sapi-BN), berkata Mohamed Azmin sebagai seorang menteri besar, sepatutnya faham dengan soalan yang dikemukakan.

“Yang berhormat sepatutnya faham soalan berkaitan dengan PPR dan saya takkan jawab soalan yang baru dibangkitkan.

“Saya sebut rumah PPR dan bukannya rumah mampu milik…dengar baik-baik,” katanya.

Azmin bagaimanapun cuba mengulangi soalannya, namun kedua-duanya diarahkan duduk oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Datuk Dr Makin Mojigoh (Putatan-BN) dan Datuk Shamsul Anwar Nasarah (Lenggong-BN) turut mencelah meminta Mohamed Azmin untuk duduk.

FB Komen

comments