‘Biarlah dia dengan perangai hodohnya’

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan pemimpin utama pembangkang yang didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak supaya membenci kerajaan demi kepentingan politik mereka.

Walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, Perdana Menteri dipercayai merujuk kepada tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada murid di sebuah pusat tuisyen di negeri itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung menyemai kebencian kepada kerajaan dalam kalangan kanak-kanak.

“Tindakan terbabit bercanggah dengan kehendak kerajaan yang mahu menanam nilai murni kepada golongan muda sejajar dengan Transformasi Negara 2050 (TN50).

“Bukan sebaliknya seperti dilakukan seorang pemimpin utama pembangkang di sebuah negeri di utara tanah air yang sanggup mempergunakan kanak-kanak untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan dengan terkinja-kinja menyanyi lagu Cukai Barang dan Perkhidmatan.

“Biarlah dia dengan perangai hodohnya… kita teruskan perjuangkan nasib kanak-kanak,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan, di Rumahku Syurgaku (RKSK) Bukit Katil.

Melaka menjadi lokasi kedua penubuhan Pusat PERMATA Kurnia dengan kos RM5 juta, sekali gus dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250 kanak-kanak autisme dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

FB Komen

comments