Intervensi awal bantu kanak-kanak autisme

MELAKA: Program intervensi awal pendidikan kepada kanak-kanak autisme mampu menghindar mereka daripada menjadi individu bermasalah pada masa depan, selain menyumbang kepada pembangunan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ini kerana intervensi awal seperti dilakukan PERMATA Kurnia dapat menyerlahkan kebolehan luar biasa kanak-kanak berkenaan.

Katanya, kanak-kanak autisme mempunyai kebolehan, potensi tersendiri serta boleh berjaya jika dibentuk dari peringkat awal.

“Walaupun autisme tidak mempunyai penawar untuk menyembuhkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kesan penyakit itu dapat dikurangkan.

“Kesannya dapat dikurangkan bukan saja kepada individu, tetapi masyarakat sehingga seorang kanak-kanak akan mencapai tahap sepatutnya direalisasikan.

“Saya penyokong kuat program PERMATA Kurnia kerana konsepnya sangat baik. Segala punca masalah masyarakat hari ini jika dibuat intervensi awal, ia boleh dielakkan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan, di Rumahku Syurgaku (RKSK) Bukit Katil.

Melaka menjadi lokasi kedua penubuhan Pusat PERMATA Kurnia dengan kos RM5 juta, sekali gus dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250 kanak-kanak autisme dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Terdahulu, Rosmah dalam ucapannya berkata, pembinaan pusat itu dijangka siap pada April 2019, sekali gus bakal memberikan perkhidmatan terbaik bagi menyediakan kanak-kanak autisme menjalani kehidupan pada masa akan datang.

“Saya terharu dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dalam menjayakan projek ini, malah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju memberikan tapak rumah Taman RKSK untuk dijadikan Pusat PERMATA Kurnia.

“Seperti pusat yang sama di Sentul, Kuala Lumpur, ia juga menyediakan program prasekolah, perkhidmatan intervensi awal dan program pendidikan komuniti,” katanya.

FB Komen

comments