Waspada serangan mengejut di saat akhir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis sudah mengenal pasti individu dan organisasi yang berpotensi melakukan ‘serangan mengejut di saat akhir’ (SLMA) dengan matlamat menimbulkan kekecohan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Serentak itu, kata Timbalan Perdana Menteri, mana-mana individu atau parti politik yang melancarkan SLMA akan berdepan tindakan polis dalam tempoh 24 jam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata polis juga mempunyai senarai individu dan organisasi serta isu yang boleh dijadikan senjata untuk mereka mewujudkan kekacauan pada PRU-14 .

“Saya tahu ada pihak yang akan melakukan SLMA, kita tahu siapa individu itu. Kami telah mengenal pasti blog mana yang akan menularkannya dan kami mengenal pasti isu yang berpotensi digunakan sebagai ‘last minute bomb’.

“Ini bukan amaran. Tindakan akan sampai jika ada individu atau organisasi yang melancarkan SLMA.

“Ini kerana pada PRU lalu, pembangkang melancarkan SLMA konon ada 40,000 Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi. Tetapi tidak ada jet jumbo masuk membawa Bangladesh di mana-mana lapangan terbang negara ini.

“Tidak ada satu pun (pengundi Bangladesh) tetapi ini SLMA hampir dipercayai semua orang,” katanya ketika berucap pada Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, Isnin.

FB Komen

comments