Imigresen senarai hitam Datin dera amah

KUALA LUMPUR: Datin yang menghilangkan diri selepas didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan parah kepada pembantunya telah disenarai hitam daripada meninggalkan negara ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, selepas jabatan itu telah menerima perintah mahkamah agar Datin Rozita Mohamad Ali disenarai hitamkan.

“Kami juga memeriksa sama ada dia telah cuba meninggalkan negara ini,” katanya dilapor The Star.

Semalam, Mahkamah Tinggi diberitahu oleh pengarah pendakwaraya Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad bahawa Rozita dan penjaminnya iaitu seorang pegawai Angkatan Udara Diraja Malaysia gagal dihubungi.

Timbalan pendakwaraya, Muhammad Iskandar berkata, mereka pergi ke rumah Rozita di Damansara, rumah keluarganya di Melaka, dan juga rumah penjamin itu untuk menyampaikan notis agar mereka hadir di mahkamah, tetapi tiada siapa yang berada di lokasi tersebut.

Beliau berkata, cubaan itu dibuat sehingga tengah malam Selasa untuk memberi notis kepada Rozita dan penjamin berkenaan.

Pada 15 Mac, Rozita dihukum harus mempamerkan perilaku baik selama lima tahun dan denda sebanyak RM20,000 kerana menyebabkan kecederaan parah kepada pembantunya, Suyanti Sutrinso, 21.

Rozita, 44, didakwa menggunakan antara lain pisau dapur, mop dan payung untuk menyerang Suyanti di sebuah rumah di Mutiara Damansara di sini antara pukul 7 pagi dan 12 malam, 21 Jun 2016.

FB Komen

comments