Parlimen bentang persempadan semula Rabu depan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini mengedarkan dokumen kajian semula persempadanan semula mengenai pelbagai syor yang dicadangkan bagi pilihan raya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata syor bahagian pilihan raya itu merangkumi kawasan persekutuan dan negeri Tanah Melayu kali keenam, 2018.

“Selain itu, ia mengandungi draf perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu 2018).

“Dokumen ini diletakkan di atas meja Yang Berhormat sekalian, namun saya ingin memberi satu peringatan.

“Semua dokumen ini tidak boleh disiarkan sehingga ia dibentangkan pada Rabu, 28 Mac 2018,” katanya ketika menyampaikan pemasyhuran di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Kali terakhir urusan persempadanan dibuat pada 2003.

Perlembagaan Persekutuan membenarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh minimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pengwujudan wilayah baharu atau penambahan/pengurangan bilangan kerusi dewan.

FB Komen

comments