Maria sah tanding PRU14 guna logo PKR

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan menggunakan logo PKR.

Bagaimanapun Maria berkata, PKR masih belum memutuskan kerusi yang akan ditawarkan kepadanya.

Maria juga menjelaskan, beliau tidak akan menyertai parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya pernah katakan dalam sidang media sebelum bahawa saya akan bertanding di bawah logo PH. Jadi saya putuskan logo PKR sebagai logo yang saya boleh dukung perlembagaanya, dan keperluan tugas PKR.

“Saya akan gunakan logo PKR dan bertanding dalam apa jua kerusi yang PKR tawarkan.

“Saya fikir apa yang paling penting sekarang ialah menghadapi pilihanraya. Persoalan lain (tidak sertai PKR) boleh diselesaikan kemudian,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Ditanya sebab tidak menyertai PKR secara rasmi beliau berkata, yang perlu diambil kira adalah membawa agenda reformasi dan memenangi kerusi pada PRU14, dan bukannya soal ‘terikat’ dengan mana-mana parti politik.

Maria juga menegaskan, tindakannya bertanding mewakili PKR tidak mengkhianati Persatuan Bukan Kerajaan (NGO), BERSIH yang pernah dinaunginya itu sebelum ini.

Malah, beliau mengharapkan sokongan badan itu terhadap penampilan sulungnya pada PRU14 kali ini.

“Tidak (mengkhianati) kerana yang pertama ialah saya dah letakkan jawatan daripada BERSIH. Kedua ialah bila saya berada di BERSIH dan pimpinan dalam BERSIH, kita sangat fokus. Agenda reformasi objektif BERSIH.

“Saya harap (sokongan). Saya tidaklah boleh beritahu mereka perlu mengundi saya. Ianya sulit,” ujarnya.

Penyertaan aktivis itu diumumkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Antara pimpinan yang hadir, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah, Ahli Biro Politik PKR, R Sivarasa dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Keputusan Maria yang mahu bertanding PRU14 pernah dikritik pemimpin Umno yang mempertikaikan tindakannya itu sehingga melabel beliau sebagai tidak berprinsip dan menjilat ludahnya sendiri.

Ini kerana pendirian Maria sebelum ini mendakwa sistem pilihan raya Malaysia tidak adil.

FB Komen

comments