Zahid mahu jentera BN kekalkan momentum

PAPAR: Timbalan Perdana Menteri mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) supaya mengekalkan momentum gerak kerja masing-masing yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua jentera hanya menunggu dua tarikh penting PRU-14 iaitu pembubaran Parlimen dan penamaan calon.

“Kita hanya menghitung hari sekarang, ada dua perkara penting yang kita tunggu iaitu hari pembubaran dan penamaan calon. Selepas penamaan calon, tidak boleh lagi ditarik balik.

“Ini bukan saja di Semenanjung, di Sabah juga buat kerja sejak tiga tahun lalu. Kita umpama pelari maraton dan sekarang hampir di garisan penamat,” katanya pada majlis ramah mesra dengan pemimpin dan rakyat di Masjid Jamek As-Salam Kampung Benoni.

Ahmad Zahid berkata, jentera BN perlu berada di hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran yang disifatkannya sebagai iblis politik.

“Jangan toleh belakang, kita terus bergerak ke hadapan. Walaupun Tan Sri (Musa Aman) jadi sasaran pihak ingin menjatuhkan kita, jangan peduli, yang penting Sabah harus di bawah panji BN,” katanya.

FB Komen

comments