Biro IT UMNO perlu elak berita palsu

KOTA BHARU: Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO diingatkan tidak terbabit dalam penyebaran berita palsu seperti dilakukan pembangkang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata segala maklumat yang disebarkan biro IT UMNO perlu berasaskan bukti, sekali gus mampu menjadi rujukan kepada rakyat.

Beliau menegaskan kerja menyebarkan berita palsu dilakukan pembangkang, bukannya didalangi UMNO.

“Jentera Biro IT UMNO perlu menjadi contoh kepada semua, selain menjaga integriti terhadap setiap maklumat yang disebarkan dalam media sosial.

“Biar maklumat yang kita paparkan tidak mendapat sambutan mahupun dikongsi masyarakat, asalkan apa yang kita sebarkan adalah benar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad berkata, tiga perkara utama perlu dilakukan lebih 8,000 jentera biro IT di seluruh negara adalah mempromosikan segala usaha yang dilakukan Kerajaan Pusat kepada semua negeri termasuk Kelantan.

Selain itu, katanya, Biro IT UMNO perlu menangkis segala tohmahan yang dibuat pembangkang membabitkan pelbagai isu dan mempromosikan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di semua sosial media.

Katanya, tiga perkara itu perlu dilakukan sehingga hari pengundian bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

“Kita akui keadaan semakin mencabar kerana pembangkang akan menyebarkan pelbagai maklumat palsu demi meraih perhatian.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh leka dan berputus asa, sebaliknya perlu berjuang hingga hari terakhir,” katanya.

FB Komen

comments