RUU berita palsu dibentang esok

KUALA LUMPUR: Rang undang-undang antiberita tidak Benar akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari Isnin, menurut kertas aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu berada di kedudukan pertama dalam senarai untuk dibentangkan esok bagi bacaan kali pertama.

Pada Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa Putrajaya telah membentuk jawatankuasa khas untuk menggubal undang-undang bagi menangani berita palsu.

Beliau berkata semua pihak terlibat akan membincangkan isu akaun media sosial palsu yang menyebarkan kandungan palsu dan tidak sesuai serta boleh menjejaskan keseimbangan sosial, ekonomi dan keselamatan negara.

Bagaimanapun, pengkritik menyatakan kebimbangan bahawa undang-undang berkenaan akan digunakan untuk mengawal berita dan mendiamkan kritikan terhadap kerajaan, termasuk skandal 1MDB.

Ini diperkuatkan dengan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari yang berkata sebarang maklumat berkaitan 1MDB yang tidak disahkan akan dianggap sebagai berita palsu.

Kerajaan berulang kali mempertahankan undang-undang berkenaan dan menafikan ia bertujuan untuk menyekat perbezaan pendapat.

FB Komen

comments