Jangan gaduh kerana ‘punahsihat’

PARIT BUNTAR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin Barisan Nasional (BN) agar berpendirian tegas dan tidak mudah terpengaruh serta terikut-ikut dengan penyokong masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan pemimpin yang terpengaruh dengan kata-kata penyokong dan bergaduh dengan pemimpin lain akan mengakibatkan rakyat menjadi keliru dan memberi kesan buruk kepada BN.

“Ya kita (pemimpin) dengar (cakap) pengikut kita, mereka boleh berikan pandangan dan nasihat kepada kita, (tetapi pemimpin) bukan mendengar nasihat daripada ‘punahsihat’.

“Kita pemimpin ada pendirian, kita bukan paksa pengikut ikut cakap kita tetapi pemimpin mesti lebih baik daripada orang yang dipimpinnya, kalau pemimpin ikut sama cakap pengikut, pengikut pecah (berpecah), kita ikut pecah, pengikut yang sini kata begini, kita keliru, baik jangan jadi pemimpin.

“Rakyat keliru kalau pemimpin tidak ada pendirian, beranilah sikit sebagai pemimpin sebab kita pemimpin, kita bukan nak kelas, bukan nak berlagak, bukan nak jadi gangster, kita buat adalah untuk rakyat kerana rakyat lebih penting, itulah pemimpin,” katanya berucap pada Program Mesra Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan tertutup dengan ahli jawatankuasa empat peringkat bersama kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit Buntar dan Parlimen Bagan Serai di Dewan Merdeka Parit Buntar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Kemudian, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, mengambil inisiatif mendamaikan dua pemimpin tempatan iaitu Sham dan Dr Noor Azmi yang ‘berseteru’ selama ini.

Beliau meminta Sham dan Dr Noor Azmi melupakan persengketaan masing-masing sebelum memanggil kedua-duanya untuk bersalam dan berpelukan di hadapan hadirin pada majlis berkenaan sambil menerima tepukan gemuruh hadirin.

Ahmad Zahid berkata, pemimpin yang baik juga tidak hanya berjumpa rakyat setiap lima tahun sekali tetapi perlu turun padang tanpa mengira musim atau masa serta sentiasa mengambil tahu masalah rakyat dan akan melakukan tindakan segera untuk menyelesaikannya.

“Kita pemimpin di atas ini, kita dengar suara rakyat dan dengar maklumbalas dari rakyat, dengar keluh kesah dan kesusahan daripada rakyat, (dan) pemimpin bukan hanya sebagai pendengar yang baik, pemimpin yang baik pasti mengambil tindakan segera untuk membantu rakyat keseluruhannya,” katanya.

FB Komen

comments