Sebar berita palsu didenda RM500,000, penjara 10 tahun

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan Putrajaya hari ini mencadangkan denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun bagi mereka yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu.

RUU juga mentakrifkan “berita palsu” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

Penerbit yang menerbitkan “berita palsu” juga akan dikenakan sehingga RM100,000 bagi kesalahan itu dan RM300,000 lagi bagi setiap hari kesalahan itu berterusan.

RUU ini mentakrifkan penerbitan sebagai “apa-apa penerbitan bertulis atau penerbitan yang sifatnya serupa dengan apa-apa penerbitan bertulis, dan tiap-tiap salinan dan penghasilan semula atau penghasilan semula substansial penerbitan itu.”

RUU itu bertujuan memberikan kuasa kepada mahkamah untuk menentukan berita palsu, kerana ia membenarkan “mana-mana orang yang terjejas oleh penerbitan yang mengandungi berita palsu” memohon kepada mahkamah untuk menghapuskan artikel tersebut.

Permohonan ke mahkamah mesti disertakan dengan laporan polis dan dokumen sokongan.

Penerbit berita palsu itu juga berpeluang mengetepikan permohonan terhadapnya dengan memohon untuk mengetepikan perintah mahkamah mengenai penyingkiran barang itu dalam masa 14 hari dari tarikh perintah itu disampaikan kepadanya.

Bagaimanapun, jika mahkamah memberi perintah penyingkiran berkaitan kerajaan dengan “dengan penerbitan yang mengandungi berita tidak benar yang menjejaskan atau berkemungkinan menjejaskan ketenteraman awam atau keselamatan negara”, tiada alasan bagi orang atau penerbitan yang diperintahkan menghapuskan kandungan berita tidak benar itu memohon untuk mengetepikannya.

RUU ini juga memberi beberapa contoh yang jelas tentang kejadian di mana berita palsu dihasilkan, termasuk penerbitan semula tuduhan yang tidak disahkan daripada posting blog.

“A berucap semasa forum awam diadakan di tempat awam. Dalam ucapannya, A memberitahu Z menyalahgunakan wang yang dikumpulkan untuk tujuan kebajikan dengan mengetahui maklumat itu salah.

“A bersalah melakukan kesalahan di bawah seksyen ini,” menurut RUU itu.

Dalam contoh lain, RUU itu mengatakan seseorang yang menerbitkan maklumat yang beliau sendiri tidak tahu sebagai palsu tidak akan dianggap bersalah atas kesalahan.

Contoh lain adalah jelas mengenai rasa bersalah seseorang jika mengetahui maklumat yang diterbitkan dan dikongsi secara nyata adalah palsu. .

FB Komen

comments