‘Siti Aafiyah’ nama si ‘Comel pipi merah’

KUALA LUMPUR: Seperti yang ditunggu-tunggu, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa semalam mengumumkan nama puteri kesayangan mereka, Siti Aafiyah.

Siti, 39, memberitahu, nama itu dipilih kerana nama itu cukup indah daripada segi maknanya.

“Nama ini saya dapat ketika menunaikan umrah. Saya dapati nama itu sering disebut dalam doa dan maknanya adalah yang baik-baik saja,” katanya pada pada majlis Maulid Nabi, aqiqah dan tahnik di kediamannya di Bukit Antarabangsa semalam.

Sementara itu, Khalid, 59, berkata, selain membawa maksud yang indah, nama Siti Aafiyah mudah diingati.

“Nama ini dipilih berdasarkan doa diajar Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas yang bertanya apakah doa terbaik untuk dibaca.

“Dalam doa itu ada menyebut perkataan ‘Aafiyah’ yang membawa maksud untuk menyelamatkan daripada sebarang kesusahan yang menimpa, menjadi sihat dan mempunyai wang yang cukup.

“Berpandukan itu, saya namakan anak saya Siti Aafiyah,” katanya.

Beberapa jam lalu, buat pertama kalinya, wajah Siti Aafiyah yang dilahirkan seberat 3.55 kilogram dikongsi secara rasmi melalui video yang dimuat naik di Instagram, seperti yang dijanjikan pasangan itu.

FB Komen

comments