Agamawan perlu bantu tangani pengganas

KUALA LUMPUR: Golongan agamawan disarankan untuk mengetuai peranan dalam menangani ancaman ekstremisme dan pelampau, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa kesederhanaan dalam semua kepercayaan dan agama untuk mengembalikan agenda perdamaian dan pragmatisme sekali gus meminggirkan ekstremisme serta radikal.

“Golongan ekstremisme dan radikal tidak mempunyai agama atau budaya. Mereka berpenyakit kerana boleh menyebabkan perpecahan dan kemusnahan dalam masyarakat.

“Atas alasan ini, penganut agama di seluruh dunia perlu tampil ke hadapan dan menyokong agenda kesederhanaan kerana ia adalah pendekatan terbaik untuk menangani masalah ini selain kemudaratan yang disebabkan oleh pemikiran ekstrem serta salah pemahaman dalam prinsip keagamaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, mempromosikan keamanan dan keharmonian menerusi kesederhanaan adalah langkah pertama yang penting dalam menuju kepada agenda yang lebih besar iaitu penyatuan dalam pelbagai agama serta masyarakat.

“Bagi mencapai visi ini ialah dengan mempromosikan (konsep) penerimaan bersama, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama sekali gus memastikan dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua manusia,” katanya.

FB Komen

comments