PAS manifesto untuk Selangor

SHAH ALAM: PAS bersama rakan strategiknya dalam Gagasan Sejahtera (Gagasan) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khas untuk Selangor.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan Pesuruhjaya PAS negeri Sallehen Mukhyi di Hotel Carlton Holiday, Shah Alam hari ini.

Manifesto bertemakan ‘Selangor Sejahtera’ mengandungi sepuluh teras yang turut menjanjikan pendidikan percuma bagi sekolah milik kerajaan negeri, bantuan tambang bas sekolah percuma dan penubuhan Akademi Pasca Tahfiz di negeri itu.

Jika berjaya membentuk kerajaan, PAS juga menjanjikan pemberian insentif RM150 Kesihatan dan Keanggunan Wanita serta insentif RM500 khas buat wanita bersalin di Selangor.

“Kita akan meneruskan dengan penambaikan terhadap program yang telah dilaksanakan kerajaan yang lalu, yang beri manfaat kepada rakyat. Sejak Tan Sri Khalid Ibrahim memimpin kerajaan,” ujarnya.

Sallehen yakin manifesto yang ditawarkan PAS Selangor itu mampu memikat hati pengundi dan rakyat di negeri pembangkang itu.

“Sebab itu kita buat manifesto ini tujuannya memang untuk menarik (rakyat). Soal sama ada rakyat akan tertarik atau tidak, sebab kita merancang atau merangka atas keperluan semasa rakyat. Keperluan masa akan datang oleh rakyat.

“Kita rangka pastikan dipilih disokong rakyat, kita harapkan sokongan rakyat. Disokong atau tidak kita tunggu pilihan raya nanti,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran itu adalah mantan menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Baru-baru ini, PAS peringkat nasional melancarkan manifesto bertemakan “Malaysia Sejahtera” yang menyentuh 9 teras utama sebagai dasarnya.

FB Komen

comments