PM lancar Bakat Global Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan program Bakat Global Malaysia (MGT) yang bertujuan memupuk dan melahirkan 5,500 pemimpin Malaysia bertaraf global menjelang 2022.

Perdana Menteri berkata, dalam fasa satu, program itu akan menggembleng 12 syarikat multinasional (MNC) terkemuka dan 10 universiti awam dengan matlamat untuk melahirkan pemimpin masa depan.

Menurut beliau, langkah itu akan disusuli dengan penglibatan lebih banyak MNC dan universiti lain.

“Melalui pelbagai inisiatif, termasuk pemindahan pengetahuan, pinjaman, penempatan latihan, pementoran dan syarahan awam oleh CEO MNC bertaraf global, MGT menggariskan matlamat untuk mewujudkan peluang bagi bakat muda Malaysia memperoleh amalan terbaik dan kemahiran bertaraf global.

“Ini akan membantu memupuk dan memberi perangsang kepada peneraju ekonomi baharu yang sedang kami bina di Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada acara tahunan InvestKL peringkat menteri 2018 di sini hari ini.

Turut hadir, menteri perdagangan antarabangsa dan industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan pengerusi InvestKL Datuk Seri Micheal Yam.

Najib berkata program MGT juga akan memacu penubuhan Pusat Kecemerlangan bertaraf dunia sebagai suatu usaha sama antara industri dan golongan akademik.

“Saya amat yakin bahawa MGT, yang lahir daripada inisiatif lnvestKL dan diurus bersama dengan Talentcorp serta disokong Kementerian Pendidikan Tinggi, akan menempa kejayaan besar dan menjadi inspirasi bagi pembentukan kerjasama lain yang serupa dengannya,” kata beliau.

Najib berkata memandangkan di Kuala Lumpur sahaja terdapat 45 institusi pengajian tinggi, maka MNC akan mempunyai akses kepada tenaga kerja berpendidikan tinggi.

“Kita mempunyai infrastruktur serba maju serta dekat dengan sejumlah pasaran memuncul dan maju,” katanya.

Beliau berkata Kuala Lumpur juga mudah dihubungi melalui pengangkutan awam yang semakin bersepadu seperti MRT, sambungan kepada laluan LRT sedia ada dan cadangan hubungan melalui kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Sementara itu, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dalam kenyataannya berkata program MGT akan memberi fokus terhadap tiga kumpulan bakat iaitu Eksekutif Muda, Eksekutif Kanan dan Aprentis MGT.

Katanya, antara MNC yang mengambil bahagian ialah Schlumberger, Linde, Honeywell, IBM dan Cargill, manakala universiti pula ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Heriot-Watt University.

FB Komen

comments