Elaun Askar Wataniah dinaikkan

BAGAN DATUK: Elaun Askar Wataniah dinaikkan dari RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam.

Demikian pengumuman yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kenaikan elaun itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota Askar Wataniah yang juga benteng pertahanan negara.

“Saya umumkan bagi pihak Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan elaun Askar Wataniah dinaikkan dengan rasminya.

“Pembayaran mulai (tarikh sama) Perdana Menteri umumkan kenaikan elaun RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia), ertinya mana-mana pegawai yang bertugas sebelum tarikh itu harus dibayar penuh mengikut elaun diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gelombang Askar Wataniah (GAW) Zon Tengah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA).

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

GAW yang dicetuskan Hishamuddin bertujuan membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan belia, pelajar dan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) melalui penyertaan mereka dalam Askar Wataniah.

Bagi zon tengah itu, seramai 4,000 peserta menyertai GAW yang diadakan selama dua hari berakhir hari ini di sekolah berkenaan.

FB Komen

comments