Pesara guru rugi RM2.9 juta

PONTIAN: Seorang pesara guru menjadi mangsa penipuan Macau Scam sehingga mengalami kerugian berjumlah RM2.9 juta wang simpanannya, awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata mangsa yang berusia lingkuan 60-an dipercayai ditipu menerusi panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

Katanya, mangsa mula menyedari ditipu sindiket Macau Scam awal Mac lalu apabila wang simpanannya di bank habis, sebelum membuat laporan di Balai Polis Pontian.

“Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai pegawai bank dan juga pegawai kanan polis bagi memperdayakan mangsa supaya menyerahkan wang.

“Suspek memberitahu mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan pihak institusi kewangan dan seterusnya panggilan yang dibuat akan disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis.

“Suspek akan menyamar sebagai pegawai polis dan menyatakan mangsa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram, penyeludupan dadah dan kes jenayah lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mustafa berkata, suspek akan menawarkan bantuan kepada mangsa menyelesaikan kes berkenaan dengan meminta mangsa membuat bayaran wang jaminan.

“Suspek meminta mangsa membuka akaun dengan pihak bank dan menyerahkan butiran akaun mangsa seperti nombor pin perbankan internet bagi membolehkan suspek membuat pengeluaran wang daripada akaun mangsa ke pihak ketiga.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan denda,” katanya.

Sepanjang bulan Januari hingga Mac lalu, sebanyak lapan kes dilaporkan di daerah itu membabitkan penipuan Macau Scam dengan jumlah kerugian RM3.9 juta, termasuk kes terbaharu pesara guru itu.

“Orang ramai dinasihatkan membuat semakan akaun yang digunakan bagi tujuan penipuan pada pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule sebelum melakukan sebarang transaksi atas talian,” katanya.

FB Komen

comments